Tuesday, March 23, 2010

MOS Racing kembali beraksi




SINAR HARIAN, 22 Mac 2010

SHAH ALAM - MOS-Yamaha Racing akan kembali menyertai kejohanan musim terbaru 2010 Petronas AAM Malaysian Cub Prix Kategori Bawah-17 Wira apabila menampilkan Amiruz Hafiz Mohd Azmi, 14, dan Zulsyafiz Rosli, 15, dalam kejohanan sebanyak 10 pusingan itu.

Pengurus Pasukan, Teoh Boon Lai berkata, seluruh pasukan akan menyertai perlumbaan pembukaan yang akan diadakan di Stadium Darul Aman hujung minggu ini.

“Ini bukan kali pertama MOS Racing terlibat dengan Kejohanan Cub Prix dan kami tidak bersaing di pentas biasa.

“Kami amat teruja dan persiapan ke Alor Setar sudah pun siap dan ali terakhir kami menyertai kejohanan ini adalah pada tahun 2006 dan pasukan kami dikenali sebagai MOS Century KMR SCK, bersaing dalam Kategori Novice dan Expert,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, buat masa ini, mereka cuma menumpukan perhatian kepada perlumbaan Wira kerana ingin menggalakkan semangat kesukanan dalam kalangan belia dan juga bagi membuktikan bahawa bahan pelincir buatan Malaysia mampu untuk digunakan dalam perlumbaan lasak.

“Ia mampu memberikan kuasa tambahan dan perlindungan sangat baik untuk enjin dan selari dengan matlamat mereka bagi menggalakkan minat ke arah sukan bermotor sejak kecil.

“Saya amat yakin, kedua-dua pelumba muda saya, Amirul dan Zulsyarif akan memberikan perlumbaan terbaik di Alor Setar,” katanya.

Beliau berkata, kesudahan di podium adalah sasaran mereka bukan sahaja dalam pusingan pertama, malah dalam seluruh kejohanan..

Advanceclub Distributors Sdn Bhd adalah pengedar tunggal bagi minyak pelincir MOS (Motor Oil Specialist).

Syarikat ini telah lebih 10 tahun menaja pasukan perlumbaan dengan rekod kesudahan podium.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Fahmi Laily di talian 012-6028339 atau ilaily@yahoo.com.

No comments: